Pelancongan

Kuala Gula Bird Sanctuary


“ Hutan Paya Bakau Kuala Gula adalah merupakan gugusan hutan paya bakau yang meliputi hutan paya bakau Larut Matang yang terdiri dari hutan paya bakau seperti pokok Api-Api "Avicennia spp" dan pokok Bakau "Rhizopora spp". Apa yang menjadi keistimewaan hutan paya bakau ini ialah keadaan sekelilingnya yang dipenuhi dengan habitat semulajadi yang mempesonakan dan sedap mata memandang. 

Jika anda adalah salah seorang daripada peminat burung, kawasan perlindungan burung Kuala Gula adalah destinasi yang sesuai untuk anda. Lebih 160 spesis burung eksotik, sesetengahnya disenaraikan sebagai burung yang dilindungi, boleh dilihat di kawasan ini. Salah satunya adalah burung Bangau Putih yang hampir pupus.

Kuala Gula telah terkenal di peringkat tempatan dan antarabangsa terutamanya kepada pemerhati burung kerana ianya penting dengan kewujudan burung air/berhijrah. Ramai pelawat tempatan dan antarabangsa seperti Amerika Syarikat, Australia, Eropah, Jepun dan negara lain datang ke Kuala Gula untuk melihat burung-burung ini.

Setiap tahun, pelbagai spesies burung dari serata pelusuk dunia singgah di Kuala Gula dalam laluan migrasinya. Terdapat beberapa laluan migrasi di dunia dan Malaysia terletak dalam laluan East Asian-Australasian Flyway. Pelbagai spesies burung air/berhijrah boleh ditemui bermula daripada akhir Ogos hingga April setiap tahun. Spesies-spesies yang dikelaskan sebagai terancam oleh IUCN seperti burung Botak Upeh (Mycteria cinerea), burung Botak Kecil (Leptoptilos javanicus), burung Bangau China (Egretta eulophotes) dan burung Kedidi Kaki Hijau (Tringa nebularia) juga boleh didapati di sini selain Burung Camar Putih, Burung Tukang Kubur dan lain-lain.


 Kawasan Kuala Gula ini juga menjadi habitat kepada bermacam jenis haiwan darat & laut antaranya memerang, lotong, kera & ikan lumba- lumba. Jangan lepaskan peluang untuk melihat sendiri hidupan liar ini yang menjadi tarikan kepada pengunjung- pengunjung kawasan perlindungan burung Kuala Gula.”

Kuala Gula Bird Sanctuary telah memenangi kategori "Tarikan Pelancong Terbaik (Tarikan Alam Semulajadi)" semasa Malaysia Tourism Awards, satu anugerah berprestij menyampaikan kepada agensi-agensi dan organisasi-organisasi yang menyumbang untuk pembangunan pelancongan.

Ban Pecah (Tanjung Piandang Waterfront)

banpecah2banpecah1


Pantai Ban Pecah atau dikenali sebagai “Pantai Rock” oleh penduduk tempatan adalah merupakan salah satu destinasi santai yang permai dan indah yang terdapat di Daerah Kerian, Perak, Terletak didalam kawasan Mukim Tanjung Piandang, Perak. Anda akan dapat melihat suasana matahari jatuh terbenam ketika senja yang melintasi Laut Selat Melaka ini. Kepada Kaki Pancing, Pantai Ban Pecah adalah tempat yang paling sesuai untuk anda, Siakap, Pari dan juga Semilang merupakan buruan anda disini. Apabila Sang Suria meninggalkan satu panorama yang amat memukau jiwa, keindahan malam yang menjelma akan membuatkan anda terpegun dengan hidangan Kari Ikan Semilang segar dan kerang rebus yang amat terkenal di Daerah Kerian yang menjadi menu utama deretan gerai-gerai makan di sekitarnya sambil anda dialunkan dengan persembahan irama nyanyian karaoke daripada penduduk tempatan.  Terdapat juga gerai-gerai penduduk tempatan yang menyediakan makanan ringan dan berat seperti rojak buah, kuey teow, nasi dan juga makanan laut. Ia juga boleh dinikmati di malam hari, kerana pengusaha-pengusaha kedai makan menjalankan perniagaan sehingga lewat malam. Ban Pecah juga sering dikunjungi oleh pelancong dari Daerah Kerian sendiri mahupun negeri-negeri yang berjiran dengan Daerah Kerian. Kawasan sekitarnya juga terdapat sawah padi. Jangan lepaskan peluang ini, kedatangan anda amat dialu-alukan.
 
  
Jam Besar Parit Buntar

Ia dibina untuk memperingati kemajuan dan kemakmuran yang cemerlang bagi semua penduduk-penduduk Parit Buntar. Jam menara ini telah dibuka dengan rasminya oleh YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj Perdana Menteri Tanah Melayu pada 24 Ogos 1961.

Pinggiran Sungai Kerian
   


Projek Pinggiran Sungai Kerian yang dilaksanakan melalui peruntukan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan di bawah Jabatan Landskap Negara merupakan salah satu projek rekreasi pinggir sungai yang terbesar dibangunkan di Parit Buntar oleh Majlis Daerah Kerian.


Dari segi konsep reka bentuk pelan mempamerkan warisan tumbuhan dan menggabungkan karya ciptaan manusia dengan alam semula jadi serta gabungan elemen tradisional dan kontemporari. Ciri-ciri kolonial diterapkan dalam reka bentuk seperti ”window wall” yang menggunakan batu bata. Senibina Negeri Perak tetap diterapkan melalui wakaf yang mempunyai reka bentuk bumbung ”Limas Belanda”. 

Berasaskan sosio budaya masyarakat dan menggunakan sumber-sumber tempatan dan ke arah landskap yang berfungsi, adalah diharapkan  pembangunan Taman Pinggiran Sungai Kerian berupaya menjadi pemangkin kepada keperluan tempat-tempat riadah bagi penduduk Bandar Parit Buntar dan sekitarnya.
 Ampang Jajar Sungai Kerian
Tempat rekreasi ini merupakan tempat rehat yang sesuai untuk kegiatan perkelahan, beriadah dan memancing.
nlipur.gif (32644 bytes)Hutan Lipur Bukit Pancur
Tempat rekreasi ini merupakan tempat rehat yang sesuai untuk kegiatan perkelahan, beriadah dan perkhemahan.